Kota Putra Paragliding Fun Fly Park

  

   

Kuala Besut Sebagai Destinasi Pelancongan
Kuala Besut merupakan salah satu destinasi yang menyediakan tempat pelancongan yang menarik untuk pelancong tempatan mahupun dari luar. Pelancong yang datang ke sini tidak akan bosan kerana di sini menjanjikan satu percutian yang amat menarik. Ramai pelancong yang datang dari luar kebanyakannya memilih destinasi Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan yang utama. Antara pelancong yang biasa ke pulau ialah pelancong dari Negara Eropah, Timur dan Asia Barat. Di sini juga menyediakan banyak resort yang pasti menyediakan penginapan yang selesa untuk pelancong yang berkunjung ke sini. Antara tempat pelancongan yang terdapat di sekitar Kuala Besut

 

 

Guna tanah Utama Pulau Perhentian ialah penempatan pelancongan dan kawasan hutan. Terdapat hanya sebuah kawasan penempatan iatu di Kampung Pasir Hantu, Pulau Perhentian Kecil. Kawasan penempatan ini seluas 9.87 hektar. Penempatan ini telah terlibat dengan Program Penyusunan Semula Kampung Nelayan Tradisional. Melalui program ini, pembinaan rumah dilaksanakan secara lebih teratur. Jumlah penduduk di Pulau Perhentian ialah kira-kira 1,300 orang dengan hampir 80% terlibat dalam sektor pelancongan, 20% di sektor awam dan perniagaan runcit. Pulau Perhentian

Kawasan-kawasan pelancongan tertumpu di sekitar Teluk Pauh, Pasir Jong, Teluk Keke dan Teluk Dalam di Pulau Perhentian Besar, manakala di Pulau perhentian Kecil tertumpu di Pasir Panjang, Teluk Kerma, Teluk Aur serta di beberapa tempat di pantai sebelah timur. Sebahagian besar dikedua-dua pulau ini masih diliputi hutan dara dengan spesis pokok seperti Cengal, Balau, Bitangor Laut, Kelat Laut dan Rhu. Laut di sekitar pulau pula terdapat batu karang terutamanya di Pantai Tiga Ruang, Teluk Dalam, Tanjung Tukas Laut, Teluk Kerma dan di kawasan perairan antara Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.

Mengikut kajian yang dijalankan, lima puluh spesis batu karang telah ditemui di sekitar Pulau Perhentian. Di sesetengah tempat pula boleh didapati dua puluh jenis batu karang bagi setiap 200 meter persegi kawasan laut. Selain itu, enam pantai berpasir di Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan Penyu Karah dan Penyu Agar bertelur iaitu di Tanjung Gantung dan Pasir Pengalau di Pulau Perhentian Kecil juga di Pasir Tiga Ruang, Tanjung Tiga Ruang, Tanjung Tukas Laut dan Tanjung Pinang Seribu di Pulau Perhentian Besar. Terdapat juga spesis burung layang-layang (Walet) yang membuat sarang burung di gua-gua sekitar Teluk Batu Tabir dan Gua Buaya.

 

Potensi Pelancongan

Terdapat lebih kurang 1,000 buah bilik penginapan daripada 42 buah pengusaha chalet dan resort dalam pelbagai kategori termasuk Pusat Peranginan Mewah, chalet bertaraf sederhana dan rendah, dorm serta kawasan perkhemahan dengan kadar sewa antara RM 50 hingga RM 300 sehari. Kejernihan air laut serta kepelbagaian hidupan marin selain daripada kesesuaian tempat menjadikan pusat pelancongan ini popular dengan aktiviti-aktiviti snorkeling, soating, perkhemahan dan melihat penyu bertelur. Keaslian dan keindahan alam sekitar semulajadi yang belum terjejas seperti laut daratan, pasir dan batu, gua, bukit-bukau, hutan dan tumbuhan semulajadi memungkinkan pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti jungle tracking, penyelidikan dan sebagainya.

Pulau Perhentian juga menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti scuba diving dan sijil yang dikeluarkan adalah diiktiraf di peringkat dunia. Penglibatan aktif sama ada secara langsung atau tidak langsung penduduk tempatan dalam industri pelancongan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Pulau Perhentian dan secara tidak langsung menggerakkan aktiviti-aktiviti hiliran dalam sektor perkhidmatan.

 

Latar Belakang Pulau Perhentian

Pulau Perhentian terletak lebih kurang 10.8 batu nautika (20 km) ke Timur Laut Kuala Besut. Keluasan keseluruhannya adalah 1,392.15 hektar. Terdapat kawasan pantai berpasir yang agak luas walaupun secara keseluruhannya diliputi oleh kawasan berbukit dan tebing di mana boleh mencapai setinggi 70 km hingga 300 km.  Pulau ini terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Besut. Gugusan Pulau Perhentian merangkumi:

 

  • Pulau Perhentian Besar
  • Pulau Perhentian Kecil
  • Pulau Susu Dara dan pulau-pulau kecil yang lain

Hampir kesemua kemudahan awam terdapat di kawasan penempatan penduduk iaitu di Pulau Perhentian Kecil. Antara kemudahan yang disediakan ialah tadika, sekolah rendah, masjid, balai raya, pondok polis, klinik kesihatan, wakil pos, bomba rakyat, kawasan perkuburan, kedai Mara 2 tingkat dan deretan kedai. Kemudahan lain yang disediakan ialah Jeti awam di Teluk Pauh, Teluk Keke dan Jeti Utama di kawasan perkampungan. Bersesuaian dengan status perairan Pulau Perhentian sebagai Taman Laut pula, Jabatan Perikanan telah membina sebuah Pusat Taman Laut bagi menempatkan kakitangan untuk mengawal pengairan di samping menyediakan kemudahan informasi.

 

Senarai Resort Yang Terdapat Di Pulau Perhentian

  • Resort
  • Perhentian Island Resort
  • Coral View Island Resort
  • Tropical Reef
  • Paradise Island Resort
  • Coconut Chalet
  • A B C Chalet
  • Abdul Chalet
  • Everfresh Chalet
  • Flora Bay
  • Fauna Chalet
  • Samudra
  • Arwana
  • Bubu Island Resort
  • Petani Beach Chalet
  • Watercolours Resort