Hari Malaysia merupakan perayaan yang diadakan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia atau penggabungan Tanah Melayu, Borneo Utara (sekarang dikenali sebagai Sabah), Sarawak dan juga Singapura (berpisah dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965) untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963. Hari Malaysia ini tidak harus dikelirukan dengan Hari Kebangsaan atau Kemerdekaan yang disambut pada setiap 31 Ogos. Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti umum pada tahun 2010, dimana rakyat Malaysia dapat meraikan atau menyambut dua perayaan yang berkaitan dengan kemerdekaan negara.

Pembentukan Malaysia dimungkinkan dengan menandatangani Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura pada 9 Julai 1963 untuk membentuk Malaysia pada 31 Ogos 1963. Namun, disebabkan oleh beberapa isu yang dihadapi pada masa itu, Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.